Berlapang
dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika
berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak
percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di
antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan perpaduan terlerai.
Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan
tuntutan mendalami ilmu Tasawuf.
Dapatlah
kita ambil suatu contoh bawa betapa indahnya akhlak dan adab para ulama
yang benar-benar kompeten didalam bidang agama ketika menghadapi
perbahasan khilaf dengan muhasabah diri dan tidak menjadikan apa yang
mereka miliki adalah yang paling benar. Pada masa kini terdapat
sesetengah golongan yang gagal mengamalkan konsep berlapang dada lantas
berasa sangat taajub dengan pandangan dan pendapat sendiri. Mereka
mungkin berpegang dan beranggapan bawa pandangan mereka saja yang
senantiasa betul dan benar yang tidak mungkin salah dan pandangan orang
lain sentiasa salah yang tidak mungkin ada benarnya. Bahkan mereka
terlalu melampau dengan melemparkan berbagai perkataan seperti bidaah,
khurafat, sesat, kafir dan sebaginya lagi walaupun di dalam isu-isu
khilafiyyah.
Berprasangka Baik
Di antara akhlak asas yang
penting di dalam pergaulan dan hubungan sesama umat Islam ialah
berprasangka baik kepada orang lain disertakan dengan tidak boleh
didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain.
Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri dikuatiri mendatangkan
perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dia lebih mengetahui akan
keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan
semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian
di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu
(bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah saja yang lebih mengetahui
akan orang-orang yang bertaqwa.
(Surah an-Najm: Ayat 32).
Prasangka buruk merupakan
perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W.
dan merupakan tegahan kepada umat Islam. Pada dasarnya kita haruslah
menempatkan seseorang Islam itu sebagai orang yang soleh lagi baik dan
tidak berprasangka buruk kepadanya kecuali dengan kebaikkan sahaja.
Walaupun nampak sedikit kelemahannya, demi untuk memenangkan kebaikkan
di atas keburukan, maka selalulah beranggapan baik sesama Islam. Sikap
dan akhlak ini lebih-lebih dituntut jika berhadapan dengan khilaf dan
kesalahan ijtihad para ulama.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang beriman!
Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan
yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah
dosa.
(Surah al-Hujuraat: Ayat 12).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Jauhilah prasangka (buruk)
kerana sesugguhnya prasangka (buruk) itu merupakan percakapan yang
paling dusta. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Di dalam perbahasan dan
perbincangan perkara-perkara khilaf, anggaplah pendapat orang lain juga
turut melalui analisis dan kajian yang mendalam dan mempunyai
dalil-dalil yang boleh disabitkan walaupun kita tidak pernah
menjumpainya. Berbaik sangka dengan menganggap kefahaman mereka
berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang betul dan mempunyai
niat ikhlas sepertimana kita juga. Jangan sesekali menghina pendapat
ulama lain dengan sengaja menimbulkan pertikaan dan perbalahan yang
tidak ada kesudahannya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar